Ilmu hadith merupakan salah satu cabang ilmu yang paling penting untuk dipelajari kerana melaluinya kita dapat memahami apa yang disampaikan oleh junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Kesemua ini merangkumi panduan syariat, akhlak, nasihat, dan petunjuk dalam kehidupan selepas bimbingan Al-Quran. Namun, ia perlulah diwariskan dari generasi ke generasi seterusnya dengan syarat yang sempurna agar bebas dari pemalsuan dan penyelewengan sabda Nabi S.A.W.
Itulah ilmu sanad (susur galur perawi hadith) yang cukup dititikberatkan oleh para ulama’ terdahulu hingga kini. Ibnu Mubarak pernah menyebutkan (Sanad itu sebahagian dari agama, jika ia tiada sesiapapun akan berkata apa yang dia kehendaki), begitu juga dengan Sufyan At-Tsauri (Sanad itu senjata orang mukmin, jika dia tiada senjata maka dengan apakah dia pergi berperang?!!), serta banyak lagi ungkapan para ulama’ dalam memelihara ilmu hadith yang perlu disampaikan dengan cara yang betul. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya sanad dalam meriwayatkan sebuah hadith.
Perbandingan yang sungguh ketara apabila melihat kepada penuntut ilmu di zaman dahulu yang begitu teliti dalam meriwayatkan sesuatu hadith, mereka bukan sahaja menghafal matan hadith dan kesemua sanadnya malah setiap perawi yang terlibat dalam meriwayatkan hadith itu diketahui akan sejarah hidup mereka agar mudah untuk menentukan kuat atau lemahnya satu-satu hadith. Lautan ilmu inilah kemudiannya dibukukan lalu diwariskan ke generasi akan datang mudah-mudahan mampu dijadikan sebagai rujukan dalam terus menghidupkan pembelajaran hadis beserta sanad ini.
Inilah kelebihan umat Nabi Muhammad S.A.W., yang berbeza dengan umat manusia lain yang turut mempunyai sanad terus sampai kepada nabi mereka. Contohnya kaum Yahudi dan Nasrani pada sanad mereka telah dicemari oleh tangan-tangan yang berdusta kepada Allah dan rasulnya, sehinggakan ke tahap menghalalkan perkara yang haram dan sebaliknya. Golongan inilah yang telah dijanjikan Allah S.W.T. dengan balasan azab api neraka yang tiada bandingnya.
Secara ringkasnya, beberapa syarat telah diletakkan oleh ulama’ hadith dalam menentukan kekuatan satu-satu hadith. Semakin sempurna syarat ini dipenuhi semakin kuatlah martabat hadith tersebut dan sebaliknya. Syarat-syarat itu ialah :
1. Bersambung sanad – setiap perawi yang meriwayatkan sesuatu hadith mengambilnya secara langsung daripada perawi sebelumnya(syeikh perawi tersebut) hingga sampai kepada Rasulullah S.A.W.
2. Adil – setiap perawi mestilah seorang Islam, baligh, berakal, bukan dari kalangan orang fasik dan tidak melakukan perkara-perkara yang menjatuhkan maruah.
3. Teliti – setiap perawi mempunyai ketelitian samada pada hasil catatan atau hafalan.
4. Hadith yang diriwayat tidak bertentangan dengan hadith yang diriwayatkan oleh perawi yang lebih adil daripadanya.
5. Tidak ada kecatatan walau sedikit dan sukar untuk dikesan dalam hadith yang boleh meragukan kesahihan hadith tersebut.
Maka, syarat-syarat inilah menjadi penentu kepada martabat sesuatu hadis samada tergolong dalam hadith sohih, hasan atau dhoif. Melalui cara ini setiap perkara dalam agama itu akan ditapis dan dinilai akan kesesuaiannya menjadi amalan umat Islam.
Pun begitu, masih terdapat di kalangan manusia mereka yang menjadikan ilmu hadith ini sebagai medan mendapatkan kepentingan duniawi salah satunya dengan mempermain-mainkan matan dan sanad sesuatu hadith. Mereka-reka hadith yang tidak bersumberkan dari Nabi S.A.W., mengubah sanad satu hadith dengan sanad hadith yang lain yang lebih kuat agar hadith itu tinggi martabatnya dan diambil sebagai hukum, mengatakan pernah meriwayatkan hadith dari seseorang padahal sebaliknya dan macam-macam lagi usaha yang dilakukan bagi mencapai segala kepentingan fana’ ini. Nabi S.A.W. pernah bersabda (Barangsiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka dia telah menyediakan tempatnya di dalam neraka).
Oleh itu, para penuntut ilmu hadith dinasihati agar sentiasa berhati-hati dalam menyampaikan sesuatu hadith samada dari sudut matan, sanad atau huraian kepada hadith tersebut supaya maksud yang ingin disampaikan Nabi S.A.W. tidak terpesong dari apa yang sebenarnya. Ingatlah bahawa ilmu Allah ini akan terus dipelihara oleh golongan yang terpilih olehNya dalam memastikan ia menjadi panduan agung selepas Al-Quran pada urusan agama umat ini. Akhir kata, renungilah kata-kata Muhammad bin Sirin rahimahullah (Umat manusia pada zaman dahulu tidak pernah bertanyakan tentang sanad, tetapi ketika berlakunya fitnah mereka berkata – apabila meriwayatkan satu-satu hadith – “Sebutkan kepada kami perawi yang kamu ambil hadith darinya”. Maka, dilihat pula kalaulah perawi itu tergolong dalam Ahli Sunnah, hadithnya diterima dan jika dia dilihat dalam kelompok Ahli Bid’ah, hadithnya tidak akan diambil).
Semoga kita semua termasuk dalam mereka yang sentiasa teguh mempertahankan warisan Nabi Muhammad S.A.W. ini.
No comments:
Post a Comment